detective conan Wed Mar 11, 2009 11:36 pm
kepada Fanatik MU baca ni...
LIVERPOOL: Rafael Benitez percaya kejayaan Liverpool memalukan Real Madrid dalam kancah bola sepak Liga Juara-Juara mengatur pentas dengan sempurna untuk pasukannya bagi menjinakkan Manchester United dalam pertarungan penentu nasib dalam Liga Perdana Inggeris, Sabtu ini.
Benitez mengakui Liverpool perlu menang di Old Trafford atau melupakan untuk mengejar pencabar mereka dalam perlumbaan kejuaraan domestik, dan kemenangan 4-0 yang dirangsang Fernando Torres ke atas Real adalah persediaan yang cukup baik untuk pasukannya.
"Apabila anda berdepan perlawanan penting, jika pemain beraksi cemerlang dan menjaringkan empat gol menentang pasukan terbaik seperti Real Madrid, anda tentu puas hati," kata pengurus berbangsa Sepanyol itu. "Sebagai pengurus mungkin ini cara terbaik untuk menghadapi perlawanan besar."
Kepulangan Torres daripada kecederaan membantu merangsang kemungkinan persembahan terbaik Liverpool musim ini, walaupun penyokongnya pasti berasa bersalah seandainya memikirkan bahawa pertahanan United juga akan memberikan peluang yang sama banyak seperti dilakukan kuartet benteng Real kelmarin.
Torres membuka jaringan selepas 15 minit permainan, penalti oleh Steven Gerrard memusnahkan cabaran lawan dan gol kedua kapten Liverpool itu serta jaringan lewat permainan oleh pemain gantian, Andrea Dossena menjulang anak buah Benitez ke suku akhir buat kali keempat dalam lima tahun di bawah pengurusannya.
Mengambil pendekatan berani, Benitez sekali lagi membuktikan kepintaran taktikal dalam saingan Eropah tatkala Real terperangkap dengan asakan bertali arus Liverpool, selain gagal untuk menangani kepintaran dan kepantasan Torres.
"Kami tahu mungkin mereka menjangkakan kami akan lebih banyak bertahan dan cuba untuk bermain corak serangan pantas," kata Benitez.
"Pada permulaannya kami cuba mengasak mereka dan menguasai permainan sejak mula hingga akhir. Mereka mendapati sukar untuk berdepan dengan tempo kami."
Bagi pengurus Real, Juande Ramos, kekalahan itu yang bermakna Real gagal mara melepasi peringkat ini sejak 2004, adalah satu tamparan kepada peluangnya untuk meneruskan dengan tugasan sehingga selepas akhir musim ini. - AFP