Dengan memenangi perlawanan pertama pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah 1-0 ini, Liverpool kelihatan mempunyai peluang paling cerah berbanding Manchester United, Arsenal dan Chelsea untuk meneruskan langkah perjuangannya peringkat suku akhir.
Untuk berlaku adil kepada Liverpool, pasukan itu bukan tidak mempunyai kekuatan dan pengalaman untuk mengejutkan Real.
Bayangkan, sejak empat musim lalu, Benitez adalah pengurus pasukan daripada Liga Perdana England yang paling berjaya dalam pertandingan ini dengan Liverpool menjadi juara pada 2005 dan kemudian finalis 2006.
Tetapi yang diragukan bukan kualiti pemainnya. Yang dipertikaikan bukan tahap semangat perjuangannya. Yang dipersolakan bukan matlamat pasukan itu.
Sebaliknya, persembahan pasukan pimpinan Rafael Benitez dalam Liga Perdana England, yang tidak menentu arah haluannya.
Tambahan pula, Real, sejak diambil alih oleh Juande Ramos, tidak pernah kecundang dalam Liga Primera Sepanyol sejak Januari lalu.
Apabila kapten pasukan, Steven Gerrard, tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama Liverpool gara-gara belum cergas sepenuhnya selepas diganggu kejang otot, pasukan itu seperti kehilangan pemain paling penting dalam perjuangannya.
Apatah lagi Gerrard adalah penjaring utama Liverpool dalam Liga Perdana England dengan sembilan gol.
Bagaimanapun, Gerrard hanya muncul dua minit sebelum tamat permainan untuk mengambil alih tempat Alberto Riera pada minit ke-88.
Tetapi dalam medan pertempuran Liga Juara-Juara Eropah, Benitez masih mempunyai sentuhan keajaibannya. Itu sudah menjadi semacam kelebihan Benitez.
Kesebelasan utamanya jarang mengecewakannya. Susunan permainannya lebih berkesan. Strateginya selalu menjadi. Seolah-olah Liverpool lebih sesuai bertarung dalam Liga Juara-Juara Eropah daripada pertandingan lain.
Kesudahannya, Real terpaksa menggigit jari. Yang kecewa ialah Ramos. Yang hampa ialah kesebelasan utamanya. Yang merana ialah ribuan penyokongnya kerana harus melihat kekalahan Real di depan mata mereka pada lewat permainan.
Strategi Liverpool mudah sahaja. Jangan beri ruang kepada Real bergerak dan bertindak. Sebab itu kapten pasukan Real, Raul, menjadi pemain sederhana sahaja.
Bekas pemain Chelsea, Arjen Robben, mungkin lincah dan ligat tetapi beliau tidak pernah membuat Pepe Reina pening kepala.
Real sekadar cantik dari segi permainan tetapi dari gerakan penyudah, ia begitu mengecewakan.
Cakap mudah, Real menang gaya tetapi kalah bersabung.
Liverpool seperti mempunyai kesabaran menyerap tekanan Real dan kemudian dengan garang bertindak melalui penyerang tunggalnya, Fernando Torres, yang hampir-hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-20.
Iker Casillas sempat menyelamatkan kedudukannya tetapi pada minit ke-82, penjaga gawang Real itu benar-benar terpedaya.
Namun, ia bukan kesilapan Casillas. Sebaliknya, barisan pertahanan Real yang cuai. Dengan perkataan lain, hilang fokus.
Gol itu bukan dari Dirk Kuyt, yang menyambar gol penyamaan semasa Liverpool seri 1-1 dengan Manchester City.
Sebaliknya, siapa terfikir melalui tandukan Yossi Benayoun.
'Liverpool menjaringkan gol melalui gerakan set-piece. Pertarungan ini sepatutnya berkesudahan seri kerana kedua-dua pasukan jarang mempunyai peluang jaringan,' demikian jurulatih Real memberitahu.
Tetapi Ramos mempunyai alasan untuk mengingatkan Benitez bahawa perjuangan Real belum berakhir. Masih ada 90 minit perjuangan.
Namun, dengan kegagalan Real menjaringkan sebarang gol dalam pertarungan ini gara-gara peluang yang begitu terbatas, perjuangan pasukan itu barangkali telah berakhir selepas perlawanan ini.
Kecuali ancaman pasukan pimpinan Ramos itu benar-benar 'Real'.
Bukan seperti dalam pertarungan ini, yang terbukti tidak 'Real'.