SIAPA yang tidak kenal dengan Syanie atau nama sebenarnya Syaniza Hisham. Pelakon yang berusia 35 itu, memang terkenal dengan saiz badannya yang agak besar, dia sentiasa menyenangkan orang sekeliling dengan sifat ramah-tamahnya. Oleh kerana saiz badannya juga, Syanie kelihatan begitu comel setiap kali muncul di kaca televisyen. Namun baru-baru ini, Syanie terpaksa menjalani pembedahan yang dinamakan gastric bypass.
Ramai yang salah sangka termasuklah peminat Syanie yang beranggapan pelakon kesayangan ramai itu melakukan pembedahan pada 28 Mei lalu di Hospital pakar Damansara dengan tujuan untuk kurus dan cantik.
Namun, tujuan sebenar Syanie melakukan pembedahan tersebut bukanlah untuk kurus tetapi kerana tahap kesihatannya yang semakin membimbangkan.
Malah, jika tidak dibedah, Syanie memberitahu, jantungnya mungkin tidak akan bertahan lama.
baru-baru ini melawat Syanie di hospital bagi melihat sendiri perkembangannya selepas pembedahan yang dilakukan.
Bagaimana dengan kesihatan Syanie sekarang ini?
Syukur, semuanya berada dalam keadaan baik, walaupun rasa sakit selepas pembedahan itu masih ada.
Ramai yang bertanya, kenapa baru sekarang Syanie lakukan pembedahan ini?
Biar saya betulkan keadaan, saya lakukan pembedahan ini bukan untuk kurus dan cantik tetapi demi kesihatan. Malah, pembedahan ini telah disarankan oleh doktor. Badan saya telah bertambah besar, jantung bekerja dua kali ganda. Doktor cakap kalau tidak buat, nampaknya tidak lamalah saya di dunia ini. Maklumlah, orang badan besar senang dapat penyakit. Kalau tidak jaga daripada sekarang, nanti lain penyakit kronik pula yang datang.
Bila sedar yang Syanie perlu dibedah?
Sebelum ini saya ke hospital sebab batuk-batuk sahaja. Bila doktor periksa, tahap kesihatan saya sudah menurun. Doktor yang sarankan. Kalau tidak, saya pun tak mahu dibedah.
Berapa lama fikir untuk buat pembedahan?
Lama juga, dalam masa setahun. Semuanya sebab takut. Saya pun tahu juga, orang badan besar ini susah sikit nak dibedah. Maklumlah, lemak banyak (ketawa). Tetapi bila saya jumpa Chef Zam (selebriti masakan), dia cerita tentang pengalaman buat pembedahan yang sama, saya mula berfikir akan kebaikannya. Setelah lama berfikir saya ambil keputusan untuk bedah selepas berbincang dengan keluarga.
Apa yang membuatkan Syanie mengambil keputusan nekad untuk dibedah?
Saya buat keputusan setelah berfikir, sampai bila saya nak begini? Kalau boleh saya tidak mahu menyusahkan orang lain. Emak saya pun sudah tua, nanti kalau dia sakit, siapa yang nak jaga dia kalau saya pun sakit sama. Selama ini dia jaga saya, biarlah lepas ini saya pula yang jaga dia.
Apa yang berada difikiran Syanie semasa dalam bilik pembedahan?
Macam-macam yang saya fikir, nasib baik sepupu yang bekerja sebagai jururawat teman saya masa bedah. Kalau tidak mesti saya meraung juga. Memang takut, sebab doktor ada cakap macam-macam boleh terjadi semasa pembedahan berlangsung. Bagi orang yang badan macam saya ni, kalau kurang bius boleh terjaga masa bedah. Terlebih bius pula boleh jadi koma. Itu yang menakutkan.
Dugaan semasa mengambil keputusan ini?
Ramai juga yang membantah termasuk peminat. Kata mereka lepas ini saya sudah tidak comel. Ada juga yang marah-marah siap suruh saya makan sayur sahaja. Ada juga yang menghantar sajak berkenaan sikap saya yang kononnya sudah melupakan jasa perut kerana kononnya saya nak buang perut. Walhal, sebelum ini sudah macam-macam cara saya cuba, memang tidak boleh kurus. Saya pun bukannya buang perut, mereka tidak faham tujuan pembedahan ini dilakukan.
Orang ramai beranggapan, Syanie selepas pembedahan ini akan jadi langsing, memang boleh ke?
Mana ada? Sekarang ni tengoklah perut saya macam mana. Berat badan saya bertambah lagi 5 kilogram sekarang ini. Mereka semua sudah salah faham, saya bukan buang lemak tetapi buat pembedahan memotong sedikit usus supaya pendek dan mengalih ia ke perut yang lebih kecil. Jadi selepas ini selera makan saya tidaklah sebesar dulu. Sekarang makan sikit pun sudah kenyang.
Maknanya lepas dua tahun, peminat bakal menyaksikan Syanie yang kurus?
(Ketawa) Tidak terbayang macam mana kalau saya kurus. Saya ni tak pernah kurus pun. Berat saya akan turun, tetapi bukan sekarang kerana ia berlaku perlahan-lahan. Mungkin ambil masa dalam dua tahun untuk mendapatkan berat badan yang ideal. Bagi saya dapat pakai baju lama pun sudah memadai. Baju lama saya pun besar juga (ketawa). Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi, sebab selama ini pun, saya tidak pernah kurus.
Macam mana pula dengan selera makan?
Dulu saya akui memang hebat. Tanyalah kepada siapa sahaja yang rapat dengan saya, semua tempat makan yang sedap saya tahu. Adik-adik saya pun begitu juga, sebab kami memang kaki makan. Jadi, secara tidak langsung badan pun berkembang sampai sekarang. Bila sampai nak jalan pun sudah semput, itulah sebabnya saya kena buat pembedahan. Sekarang ini selera makan sudah kurang sikit berbanding dulu.
Bila akan kembali bekerja seperti biasa?
Buat masa ini emak tidak bagi saya keluar wad lagi kerana dia risau. Katanya lebih baik saya duduk di hospital sebab ada doktor dan jururawat. Rasanya-rasanya dalam tiga bulan juga untuk pulihkan kesihatan saya. Nampak sahaja macam sihat tetapi doktor kata pembedahan yang saya buat itu kira pembedahan major, cuma orang tak nampak sebab dalam perut. Kalau nak diikutkan, badan saya sudah ditebuk-tebuk.
Nasihat kepada orang 'besar' di luar sana?
Nasihat saya, selagi boleh, jagalah kesihatan dengan baik. Macam saya, menyesal juga sebab masa muda-muda dulu tidak terfikir untuk kuruskan badan, dah tidak boleh jalan barulah tersedar. Orang badan macam saya, cubalah dahulu alternatif untuk kurus. Biarlah pembedahan menjadi jalan akhir kerana selain sakit, risiko besar. Lagipun ia memerlukan wang yang banyak.